
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menggesa kerajaan untuk mengaktifkan prosedur perundangan khas bagi mempercepatkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) yang melarang akses media sosial kepada kanak-kanak di bawah usia 15 tahun.
Langkah drastik ini disasarkan untuk dikuatkuasakan seawal musim luruh akan datang, menurut laporan media tempatan yang memetik penyiar BFMTV.
Dalam satu rakaman video, Macron merakamkan penghargaan kepada Laure Miller, ahli Parlimen dari parti pemerintah yang juga pelapor bagi siasatan Parlimen mengenai impak aplikasi TikTok. Usaha Miller dalam merangka draf perundangan tersebut kini telah mendapat sokongan penuh kerajaan.
“Teks ini membolehkan kita merealisasikan cita-cita yang telah kita pegang selama beberapa tahun. Ia sangat penting bagi saya dan merupakan satu komitmen kuat yang saya nyatakan kepada rakyat Perancis,” tegas Macron.
Presiden itu turut mengingatkan bahawa beliau telah mendesak peraturan yang lebih ketat terhadap platform digital sejak 2018, termasuk inisiatif melalui UNESCO dan Forum Keamanan Paris. Beliau menyifatkan cadangan terbaharu ini sebagai dokumen yang “jauh lebih ringkas” namun berkesan dalam memenuhi janji untuk melindungi golongan remaja daripada ketagihan skrin, selaras dengan larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah yang telah dilaksanakan sebelum ini.
RUU berkenaan dijadualkan untuk bacaan kali pertama di Perhimpunan Kebangsaan pada Isnin, semasa sesi Parlimen yang dikhaskan untuk parti pimpinan Macron, Renaissance.
Langkah Perancis ini dilihat mengikut jejak langkah global dalam mengetatkan kawalan digital terhadap kanak-kanak. Bulan lalu, Australia melakar sejarah sebagai negara pertama yang melarang penggunaan media sosial secara rasmi bagi remaja di bawah umur 16 tahun.
— BERNAMA-ANADOLU






