DomestikSemasa

Malaysia Dalam Fasa Kedua Pembangunan Penyiaran 5G

Malaysia kini memasuki fasa kedua pembangunan penyiaran 5G bagi menentukan hala tuju teknologi itu, selepas dua tahun menumpukan fasa pertama kepada penyelidikan dan libat urus industri.

Ketua Kumpulan Test Bed Siaran 5G Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Hafizal Mohamed Ariffin, berkata fasa semasa bertujuan membuktikan sama ada konsep penyiaran sehala berasaskan rangkaian 5G boleh dilaksanakan secara praktikal.

Beliau yang juga Pengurus Kejuruteraan Penyiaran Alhijrah Media Corporation berkata, walaupun teknologi berkenaan masih di peringkat ujian dan belum matang dari segi ekosistem peranti serta pemancar, beberapa ujian awal menunjukkan potensi besar untuk pelaksanaan pada masa depan.

“Cabaran utama adalah dari segi kesediaan sistem, sama ada daripada aspek pemancar, cip dalam peranti atau kestabilan sambungan. Secara teorinya, teknologi ini berfungsi dan boleh dilaksanakan,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Penyiaran 5G anjuran MCMC di sini hari ini.

Teknologi Penyiaran 5G merupakan evolusi terkini dalam telekomunikasi yang membolehkan kandungan disiarkan terus kepada peranti mudah alih tanpa memerlukan sambungan internet tradisional. Berbeza dengan rangkaian mudah alih konvensional yang bersifat dua hala, 5G Broadcast membolehkan penghantaran siaran satu-ke-banyak secara serentak dengan kualiti tinggi melalui frekuensi Ultra High Frequency (UHF) yang digunakan untuk siaran televisyen terestrial.

Mengenai kekangan teknikal, Mohamad Hafizal berkata siri ujian menggunakan beberapa peranti mudah alih sedia ada seperti Xiaomi 12 dan OnePlus 10 Pro masih menunjukkan keputusan tidak konsisten.

“Masalah seperti kelewatan siaran, siaran tergendala dan kestabilan sambungan adalah isu utama. Cip dalam sesetengah peranti sebenarnya menyokong 5G Broadcast, tetapi tiada pengesahan rasmi daripada pengeluar, menyebabkan ujian kadangkala stabil dan kadangkala tidak,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan sedang meneroka potensi penggunaan teknologi penyiaran 5G sebagai pelengkap kepada kaedah penyampaian sektor penyiaran negara.

Persidangan Penyiaran 5G hari ini menjadi platform utama untuk mempersembahkan hasil simulasi, penemuan dan demonstrasi teknologi test-bed, selain menjadi medan kolaborasi industri, perkongsian maklumat teknikal dan perbincangan strategik antara MCMC, penyiar serta pihak berkepentingan.

Hasil inisiatif itu dijangka memberi manfaat besar kepada penyiar, penggubal dasar dan pemain industri lain, di samping menjadi penanda aras penting bagi pembuktian konsep (Proof-of-Concept) teknologi berkenaan.

Malaysia kini berada di hadapan dalam rantau ASEAN dari segi penerokaan teknologi penyiaran 5G.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button