
Malaysia dengan tegas menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap Israel sambil menekankan bahawa kekejaman rejim Zionis di Timur Tengah tidak boleh dibiarkan berlarutan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 2025 di sini pada Sabtu berkata, serangan Israel di Doha, Qatar baru-baru ini bukan sahaja menyasarkan wakil Hamas, malah mencabul kedaulatan sebuah negara serta menghina usaha pengantaraan antarabangsa.
Beliau menegaskan serangan itu membuktikan keganasan Israel terus menggugat kestabilan rantau berkenaan, dengan kesannya pasti menjangkau ke seluruh dunia.
“Kekejaman ini mungkin bermula dengan Palestin, tetapi ia tidak akan berakhir dengan Palestin. Dunia tidak boleh hanya berpegang kepada retorik penyelesaian dua negara semata-mata,” katanya.
Mohamad menegaskan Malaysia kekal komited menyokong rakyat Palestin melalui pelbagai langkah termasuk Deklarasi New York, selain menuntut tindakan konkrit terhadap kuasa pendudukan Israel.
Menurut beliau, pembangunan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berkerajaan sendiri mesti disokong secara berterusan.
Beliau turut mengingatkan kegagalan menyelesaikan isu Palestin selepas 80 tahun penubuhan PBB akan menjejaskan keyakinan masyarakat dunia terhadap sistem antarabangsa.
Dalam ucapannya, Mohamad turut mengulangi gesaan Malaysia supaya PBB segera melaksanakan reformasi bagi kekal relevan dalam menangani cabaran global.
Katanya, antara pembaharuan mendesak ialah mengehadkan atau menghapuskan kuasa veto, merombak mekanisme pembiayaan global demi keadilan kepada negara-negara Selatan Global, serta memastikan Majlis Keselamatan tidak lagi lumpuh oleh veto negara anggota tetap.
“Kuasa mesti dikembalikan kepada Perhimpunan Agung PBB sebagai badan paling inklusif, yang sepatutnya berperanan sebagai hati nurani dan suara dunia,” ujarnya.
Beliau turut menggesa PBB menggunakan sepenuhnya Resolusi 76/272: Inisiatif Veto serta Resolusi 377A: Bersatu Demi Keamanan, bagi memastikan suara kolektif masyarakat antarabangsa tidak lagi ditolak sewenang-wenangnya.
Mohamad menegaskan PBB mesti terus kekal relevan, berkesan dan berperanan sebagai penjaga keamanan global.
Sejak 7 Okt 2023, Israel telah melancarkan serangan berterusan di Gaza, mengorbankan lebih 65,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan kemusnahan besar serta kebuluran di wilayah itu.
— BERNAMA