
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan terbaharu rejim Zionis Israel untuk mengambil alih sepenuhnya Semenanjung Gaza melalui tindakan ketenteraan, sambil menggesa komuniti antarabangsa menolak dasar aparteid rejim itu tanpa kompromi.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa langkah kejam dan terancang itu jelas menunjukkan hasrat Israel untuk terus menduduki wilayah Palestin secara kekal, sekali gus mencabuli undang-undang antarabangsa dan prinsip asas hak asasi manusia.
“Selepas 22 bulan pengeboman berterusan, kepungan, dan pemindahan paksa lebih 90 peratus penduduk Gaza, tindakan ini bertujuan menamatkan penyelesaian dua negara. Jika dibiarkan, semua proses damai akan terkubur dan hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka akan dinafikan,” menurut kenyataan itu.
Malaysia menggesa semua negara mengiktiraf Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, serta memastikan pelaksanaan gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, penamatan sekatan bantuan kemanusiaan, dan kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran di Facebook menegaskan komitmen berterusan Malaysia membela hak rakyat Palestin, bukan hanya melalui kenyataan tegas di pentas antarabangsa, tetapi juga dengan bekerjasama rapat bersama pemimpin serantau dan global.
— BERNAMA