Semasa

Pengangkutan udara Sabah Sarawak terus beroperasi

KUALA LUMPUR : Perkhidmatan pengangkutan udara luar bandar (RAS) akan terus beroperasi di Sabah dan Sarawak walaupun di laluan yang tidak menguntungkan bagi meningkatkan akses orang ramai ke kawasan luar bandar.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong,  setiap tahun kerajaan menyalurkan subsidi kepada MASwings sebagai penyedia perkhidmatan operasi bagi mengimbangi kos operasi.

“Peruntukan subsidi kepada MASwings yang dilaksanakan setiap tahun adalah berdasarkan kerugian ke atas jumlah perbelanjaan operasi dan bayaran sewa pajakan pesawat yang digunakan untuk menawarkan perkhidmatan ini, bukan melalui laluan atau negeri,” tambahnya ketika perbincangan mengenai Rang Undang-undang.

Semasa sesi perbincangan rang undang-undang itu sebelum ini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN -Semporna) dan Baru Bian (PSB-Selangau) membangkitkan isu mengenai peruntukan RM209 juta dalam Bajet 2022 untuk membayar kos pengangkutan udara di kawasan luar bandar.

Menurut Ka Siong, terdapat 40 laluan RAS termasuk 13 penerbangan ATR 72-500 dan 27 laluan Twin Otter Viking DHC6-400.

Lokasi pedalaman seperti Bario, Ba’Kelalan, Marudi, Long Akah, Long Lellang dan Kudat dilayan melalui laluan itu yang menghubungkan 12 lapangan terbang di Sabah dan 15 lapangan terbang di Sarawak.

Bagaimanapun, beliau menyatakan dua laluan iaitu Kota Kinabalu-Kudat dan Kudat-Sandakan dengan penerbangan dua kali seminggu, telah ditangguhkan sehingga 30 November kerana permintaan yang rendah.

Katanya, perkhidmatan laluan ke Long Pasia telah dibatalkan berikutan keadaan lapangan terbang di sana yang perlu diperbaiki memandangkan ia telah rosak kira-kira separuh dan menelan belanja RM30 juta untuk membina semula.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button