
Buat pertama kalinya, Malaysia akan menjadi tuan rumah Pertandingan Badminton Asia Pasifik Olimpik Khas 2025 yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 20 September di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Acara ini bakal menghimpunkan 64 pemain badminton yang terdiri daripada atlet kurang upaya intelektual dan perkembangan (IDD) dari seluruh rantau Asia Pasifik. Mereka akan bersaing bersama 17 pemain bukan kurang upaya yang bertindak sebagai unified partners, bagi memupuk semangat inklusif dan kesepaduan dalam sukan.
Penyertaan datang daripada 10 negara: Bangladesh, India, Indonesia, Maldives, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Thailand, dan Malaysia selaku tuan rumah.
Malaysia akan diwakili oleh 12 atlet IDD serta empat unified partners yang bersedia menampilkan aksi terbaik dengan sokongan padu penyokong tempatan.
Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori umur 16 hingga 21 tahun dan 22 hingga 33 tahun, serta mempertandingkan acara perseorangan dan beregu lelaki dan wanita. Turut dipertandingkan ialah kategori beregu unified, yang menggabungkan pemain dengan dan tanpa IDD untuk beraksi sebagai satu pasukan.