
Pulau Pinang menggesa usaha membangunkan bakat tempatan dalam industri kenderaan elektrik (EV) diperkasa bagi memenuhi keperluan pasaran yang semakin berkembang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, berkata ekosistem industri EV memerlukan lebih ramai mekanik dan jurutera automotif berkemahiran tinggi, sekali gus menuntut kerjasama erat antara pusat latihan kemahiran kerajaan dan swasta.
“Kami mahu lebih banyak latihan kemahiran ditawarkan supaya dapat melahirkan anak muda tempatan yang bersedia memenuhi permintaan industri EV,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara EV PLUS Mobility Solutions dan SLC Auto Academy di sini hari ini.
Menurutnya, kerjasama tersebut merupakan langkah penting untuk membawa Pulau Pinang ke arah negeri hijau dan mampan, selari dengan dasar kerajaan mempromosikan penggunaan EV dan mengurangkan pelepasan karbon.
Pengurus Pemasaran SLC Auto Academy, Shahrirl Anuar Shah Abdullah, berkata pihaknya menawarkan kursus automotif termasuk EV di peringkat sijil (dua tahun) dan diploma (tiga tahun) untuk pelajar berusia 16 hingga 23 tahun, khususnya golongan tercicir persekolahan.
“Peluang pekerjaan dalam bidang ini luas, malah ramai pelajar ditawarkan kerja sebelum tamat pengajian kerana kemahiran mereka mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan, sekaligus menyokong pembangunan industri automotif berteknologi hijau di Malaysia.