
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang memfokus kepada perlindungan kanak-kanak dalam talian, termasuk memastikan kandungan bersesuaian mengikut peringkat umur pengguna.
Menurut Kementerian Komunikasi, pemberi perkhidmatan dikehendaki memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna berusia di bawah 16 tahun dan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna di bawah 18 tahun bersesuaian dengan tahap umur masing-masing. Pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan tetapan dan kawalan ibu bapa selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka.
Langkah ini termasuk keperluan pelan keselamatan dalam talian bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pemberi perkhidmatan dalam mematuhi kewajipan di bawah Akta 866. Beberapa undang-undang berkaitan turut digubal, termasuk keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial untuk memastikan kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma yang bertanggungjawab.
MCMC turut menerbitkan Kod Tatalaku untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Media Sosial bagi menyokong kerangka pelesenan itu, termasuk pelaksanaan pengesahan umur, tetapan kawalan efektif bagi ibu bapa, dan fungsi perlindungan pengguna kanak-kanak daripada kandungan memudaratkan. Akta 866 menyediakan peruntukan bagi kewajipan pemberi perkhidmatan aplikasi, kandungan, dan rangkaian yang dilesenkan.
Sumber: Bernama







