PalestinSemasa

Media Barat Dikritik, Israel Tuduh Cuba Tutup Mulut Wartawan Gaza

Penganalisis media mengecam pembunuhan beramai-ramai wartawan Palestin oleh Israel, yang disifatkan sebagai usaha untuk memadamkan liputan bebas mengenai tragedi kemanusiaan di Gaza.

Menurut kiraan Al Jazeera, lebih 274 wartawan Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, menjadikan konflik di Gaza sebagai yang paling maut dalam sejarah moden untuk pekerja media. Dua wartawan terbaharu – Rasmi Jihad Salem dari Syarikat Media Manara dan Eman Al-Zamli – maut minggu ini akibat serangan udara dan serangan dron Israel.

Presiden Persatuan Akhbar Asing (FPA), Ian Williams, menegaskan bahawa pembunuhan wartawan Palestin mencerminkan usaha Israel untuk “memadamkan kebenaran.” Beliau turut menyelar sikap dingin media Barat yang gagal bersolidariti dengan wartawan Palestin.

“Tiada lagi alasan. Mana-mana wartawan yang tidak marah dengan kekejaman ini sepatutnya diturunkan untuk membuat liputan majlis perkahwinan atau fesyen, bukannya isu serius,” katanya dipetik TRT World.

Pertubuhan perlindungan wartawan, Committee to Protect Journalists (CPJ), pula melihat corak serangan Israel terhadap wartawan Palestin bermula dengan fitnah, diikuti ancaman, sebelum akhirnya dibunuh.

“Kami bimbang corak ini semakin menjadi kebiasaan. Ini bukan kemalangan, tetapi strategi untuk menutup mulut wartawan,” kata Pengarah CPJ MENA, Sarah Qudah.

Ogos lalu, Israel dikecam selepas lima wartawan termasuk jurukamera Al Jazeera, Mohammad Salama, dan kontraktor Reuters, Hussam Al-Masri, terbunuh dalam serangan berganda ke atas Hospital Al-Shifa. Israel cuba menjustifikasi serangan dengan mendakwa ia menyasarkan kamera Hamas, tetapi dakwaan itu dibuktikan palsu oleh Reuters.

Penganalisis menegaskan, setiap kali wartawan Palestin dibunuh, dunia semakin bergantung kepada rakaman dan laporan mereka untuk mendedahkan realiti di Gaza, meskipun Israel terus menghalang kemasukan media antarabangsa.

SUMBER: TRT World

Related Articles

Back to top button