TAIPING: Ulama hadis kelahiran negeri Perak, Syeikh Maulana Haji Ahmad Khairani bin Haji Rejab Ali menghembuskan nafas terakhir sebelum Ramadan pada 18 Mac lalu di usia 74 tahun.
Berita duka pemergian Almarhum diumumkan di akaun media sosial rasmi menantunya, Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.
Dilahirkan di Kampung Sungai Tinggi, Trong, pada tahun 1948, Almarhum amat dikenali kerana keilmuannya dalam bidang hadis.
Almarhum disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Simpang, Taiping.
Mengimbau kembali sejarah pendidikan Allahyarham, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Sungai Tinggi disamping mendapat didikan Islam daripada ayahandanya sendiri iaitu Tuan Guru Haji Rejab Ali Bin Muhammad Shiddiq yang merupakan seorang guru agama tempatan.
Almarhum kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Madrasah Huda ad-Diniah, Air Terjun, Trong dan selepas itu ke Madrasah al-Yahyawiyah, Padang Rengas, Perak.
Perjuangan jihad menuntut ilmu Almarhum diteruskan lagi di Darul Sabelus Rashad, Bangladesh kemudian memasuki Jamia Darussalam sebelum ke Madrasah Darul Uloom, Deoband, India.
Allahyarham kemudiannya mengikuti pengajian tafsir al-Quran di Madrasah Darul Uloom Ta’alim Quran di Pakistan kemudian berangkat pula ke Mesir dan memasuki Universiti al-Azhar di Kaherah.
Allahyarham pernah dianugerahkan sanad-sanad hadis yang diperolehi daripada Pusat Pengajian Islam di India seperti sanad-sanad Kutubuh Sittah, Muatta’ Imam Malik, Misykat dan lain-lain.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia selain pernah mengajar di sekolah-sekolah menengah kerajaan, Kolej Melayu Kuala Kangsar, Maktab Perguruan Ipoh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Kolej Telekom Melaysia.
Allahummaghfirla-hu warham-hu wa ‘afi-hi wa’ fuan-hu. Sesungguhnya, kita milik Allah SWT selama-lamanya.
Semoga Allah SWT merahmati Almarhum menempatkannya di sisi-Nya Yang Maha Pengasih.
إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن