Semasa

Mobile Clinic MAIWP-MAPIM Bantu Komuniti Pelbagai Kaum di PPR Sri Aman, Jinjang

KUALA LUMPUR: Seruan bagi memastikan kesihatan terjaga terus digaungkan melalui inisiatif Mobile Clinic MAIWP-MAPIM yang berlangsung di PPR Sri Aman, Jinjang, yang menyantuni pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Junaidah binti Shaari, 71, yang mengidap kanser hati, paru-paru berair dan sakit jantung, hadir bersama suaminya mengungkapkan rasa terharu dan bersyukur atas perkhidmatan percuma yang disediakan.

“Saya amat bersyukur dengan bantuan yang diberikan, servis yang baik dan tanpa sebarang bayaran,” kata Junaidah dengan nada penuh kesyukuran.


Dalam kesempatan yang sama, Kunasundari a/p N. Sivagnaman, 63, turut hadir bersama cucunya, Dev a/l Devandran, 6, yang sedang  demam panas. Kunasundari meluahkan rasa syukur kerana Mobile Clinic memudahkan proses mendapatkan rawatan segera untuk cucunya.

“Ini sangat membantu, terutamanya dalam keadaan terdesak seperti ini,” jelasnya.


Seorang lagi pesakit, Hou Choon Min, 60, menyatakan kesihatan beliau yang bertambah baik,  mendapatkan pemeriksaan dari Dr Kamarudin bin Isa.

“Doktor memberikan perhatian yang teliti dan nasihat kesihatan yang mudah,” ucap Hou, seraya berharap agar perkhidmatan Mobile Clinic dapat diperluaskan agar lebih ramai lagi yang mendapat manfaat.

Mobile Clinic MAIWP-MAPIM ini jelas menunjukkan komitmennya dalam menyediakan akses penjagaan kesihatan kepada semua lapisan masyarakat, selari dengan visi dan misi organisasi untuk memastikan tiada siapa yang terpinggir daripada menerima rawatan kesihatan yang sewajarnya.

Related Articles

Back to top button