DomestikSemasa

Mobile Clinic MAIWP-MAPIM Rawat 264 Pesakit di Karnival Himpunan Sumud, Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2025 – Kehadiran Mobile Clinic MAIWP-MAPIM di Karnival Himpunan Sumud Nusantara, Dataran Merdeka mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 264 pesakit mendapatkan rawatan percuma sepanjang tiga hari penganjuran, bermula 22 hingga 24 Ogos 2025.

Klinik bergerak ini menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan asas, termasuk pemeriksaan tekanan darah, paras gula dan kolesterol, rawatan ringan serta khidmat nasihat kesihatan. Inisiatif ini diketuai oleh Pengarah Mobile Clinic, Puan Haryani, bersama pasukan petugas kesihatan terlatih.

“Sambutan orang ramai amat luar biasa. Ramai yang hadir untuk mendapatkan pemeriksaan asas, ada yang kali pertama menjalani saringan kesihatan. Kehadiran Mobile Clinic membolehkan lebih ramai masyarakat mendapat akses awal kepada rawatan asas tanpa beban kos,” kata Puan Haryani.

Mobile Clinic MAIWP-MAPIM merupakan hasil kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan MAPIM Malaysia, diinspirasikan oleh CEO MAPIM, Dato’ Dr. Sani Araby Al Kahery. Ia direka khas daripada bas dua tingkat yang dilengkapi empat bilik konsultasi, dua bilik rawatan, kemudahan penghawa dingin serta ruang menunggu selesa.

MAPIM Malaysia menekankan bahawa klinik bergerak ini dibangunkan hasil pengalaman di kawasan bencana, di mana keperluan perubatan segera sering terhalang oleh kekangan logistik. Justeru, inisiatif ini memberi peluang masyarakat mendapat perkhidmatan kesihatan yang dianggap bertaraf “klinik bergerak lima bintang” secara percuma.

Related Articles

Back to top button