
Seorang murid Tahun Enam ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kuari pasir ketika memancing bersama dua rakannya di Taman Mesra Ria, Kupang, petang tadi.
Mangsa, Muhammad Farish Syazwi Mohamad Sukri, 12, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam kuari berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.30 petang dan segera menggerakkan enam anggota ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan penyelamat melakukan pencarian menggunakan teknik permukaan di kawasan air sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk setempat mengambil masa kira-kira dua jam sebelum mangsa ditemukan pada jam 6.25 petang, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Menurut Zulkhairi, penemuan mangsa dibuat oleh bapa saudaranya sendiri yang turut membantu dalam operasi SAR.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tragedi ini sekali lagi mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika beraktiviti di kawasan berair, terutama di lokasi yang tidak mempunyai kawalan keselamatan atau pengawasan.
— BERNAMA