
Empat mangsa kemalangan maut di Gua Musang pagi tadi selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kubang Bemban di sini, pada jam 11.30 malam.
Kesemua jenazah dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Gua Musang sebaik proses bedah siasat selesai.
Dalam kejadian jam 9.15 pagi di Jalan Utama, Felda Chiku 1, kereta dinaiki lima sekeluarga itu bertembung dengan sebuah lori treler, mengorbankan Muhammad Faiz Nor Amran, 32, adiknya Nor Aina Imra, 21, serta dua anak Muhammad Faiz – Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4.
Isteri Muhammad Faiz, Tuan Norsyuhada Mohd Zain, 23, yang memandu kereta tersebut, mengalami kecederaan parah pada kepala dan dada selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Sumber – Bernama