BRUSSELS : Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) menegaskan nasib rakyat Syria yang tersepit di dalam konflik dalaman negara kekal menjadi keutamaan EU.
Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell berkata, EU akan memberikan komitmen penuh dalam mencari titik penyelesaian politik yang sekian lama menjadi punca peperangan dalam negara berdarah itu.
Katanya dalam satu kenyataan bersempena 11 tahun konflik Syria, beliau meggariskan bahawa rakyat Syria kini berdepan dengan bantuan kemanusiaan yang terdesak.
“Syria merupakan antara negara yang mempunyai krisis perpindahan terbesar di dunia dengan sejumlah 5.7 juta pelarian secara berdaftar, manakala, 6.9 juta lagi pelarian dalaman masih menetap di negara tersebut.” – Josep Borrell, Ketua Dasar Luar EU
Borrell turut menegaskan bahawa EU tidak akan normalisasikan hubungan dengan rejim Bashar Al-Assad dan tidak akan menyumbang kepada apa-apa pembinaan semula negara itu.
Ujar beliau, segala urusan akan ditarik balik sehingga persetujuan dicapai dalam menyelesaikan pertikaian politik selaras dengan tuntutan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada 10 Mei, EU bakal menjadi tuan rumah bersama PBB pada Persidangan Brussels kali ke-6 dengan agenda sokongan terhadap masa depan Syria dan pada masa sama mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rakyat Syria.
Berdasarkan data yang dikeluarkan PBB, lebih 350,000 rakyat Syria terkorban akibat konflik, bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia menganggarkan angka kematian sebenar boleh mencapai 500,000 hingga 600,000 orang.