
PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini mengumumkan ketetapan baharu bagi masjid serta surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selaras dengan Fasa Peralihan Endemik pada 1 April ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dalam satu kenyataan mengatakan kesemua ketetapan baharu yang dibuat telah pun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).
Antara ketetapan baharu yang dilaksanakan antaranya, jemaah dibenarkan solat berjemaah tanpa penjarakkan fizikal atau saf dirapatkan.
“Jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri ketika mengerjakan solat di masjid dan surau.
“Kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had usia kepada mereka yang sudah menerima vaksinasi COVID-19.” katanya.
Selain itu, masjid dan surau dibenar melaksanakan solat sunat Tarawih 20 rakaat sepanjang Ramadan, manakala Qiamullail dibenarkan di masjid dan surau bermula tengah malam.
Tambah beliau, majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan di masjid dan surau, manakala makanan digalakkan disediakan secara berbungkus.
“Aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau dibenar diadakan pada bila-bila masa bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.
“Semua kebenaran itu tertakluk kepada SOP ditetapkan selaras nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Diharapkan lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan serta disaran terus bermunajat dan berdoa semoga penularan wabak COVID-19 melanda negara segera dapat dibendung, seterusnya mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT,” ujar Mohd Ajib dalam kenyataan media hari ini.