SemasaSukan

OD Esports Dinobat Juara Mobile Legends HPPNK 2025

Pasukan OD Esports dari Papar muncul juara Kejohanan E-Sukan Mobile Legends anjuran NAFAS-NEKMAT sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Kejohanan yang bermula sejak Jumaat lalu itu disertai 43 pasukan dari seluruh Sabah, menyaksikan OD Esports mengatasi cabaran sengit untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 berserta piala dan sijil kejuaraan.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan Sonic The Hedgehog dari Kota Kinabalu yang menerima RM2,000, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing diraih oleh Stark Origin (RM1,000) dan Sonic Esports X (RM600). Semua pasukan turut menerima trofi dan sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar, serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil. Turut hadir ialah Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Muhammad Faris Arriffin dan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Azrin Shah Ismail.

Peserta OD Esports, Adrian Adlie Ku, 21, dari Tenom, berkata kejohanan ini bukan sekadar medan pertandingan, malah membuka ruang untuk mengembangkan bakat serta membina jaringan dalam komuniti e-sukan.

“Kami sangat berterima kasih atas peluang ini. Ia menjadi motivasi untuk terus maju dalam arena e-sukan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Sonic The Hedgehog, Daniel France, 32, menyifatkan kejohanan ini sebagai platform penting untuk mencungkil potensi anak muda tempatan dan berharap ia diteruskan setiap tahun.

Majlis penutup turut diserikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk skuter elektrik, wafer emas dan jam tangan. Pemenang hadiah utama, Wan Mohd Salleh Mahrawi, berjaya membawa pulang sebuah motosikal.

Kejohanan tahun ini merupakan edisi kedua pertandingan e-sukan HPPNK selepas penganjuran sulungnya di Ipoh, Perak, pada tahun 2023.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button