Pandu Puteri pupuk kesedaran generasi muda kepentingan kitar semula
JERAM: KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Program ‘Plastic Busters Beach-River-Park Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023’ anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di Stadium Tertutup Kuala Selangor, pada Sabtu.
Turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin merangkap Penaung Diraja PPPM Selangor.
Hadir sama, Yang Dipertua PPPM Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pada majlis tersebut, Seri Paduka Baginda selaku Penaung Diraja PPPM bertitah program dan kegiatan pembersihan alam sekitar khususnya kawasan pantai yang dilaksanakan mampu menanam kesedaran pada semua peringkat masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta menanamkan semangat sayangkan alam sekitar.
Seri Paduka Baginda juga bertitah program itu akan meningkatkan kebertanggungjawapan semua pihak termasuk daripada kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memelihara serta memulihara perairan dan pantai di samping dapat mewujudkan persekitaran yang bersih ceria, malah selamat untuk dikunjungi.
Pada majlis yang dihadiri seramai 1,000 peserta itu, Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa botol plastik mampu dikitar semula dan boleh dijadikan bahan dalam menghasilkan beg, kusyen serta selimut.
Baginda turut berkenan berkongsi pengalaman menyaksikan sendiri bagaimana negara England menggunakan botol plastik kitar semula bagi menghasilkan produk kraf yang mampu membuka peluang perniagaan baharu menggunakan bahan kitar semula.