PalestinSemasa

Parlimen Israel Sokong Usul Pengilhakan Tebing Barat Yang Diduduki

Parlimen Israel (Knesset) meluluskan rang undang-undang bagi mengilhakkan Tebing Barat yang diduduki dalam bacaan awal, sekali gus mencetuskan kecaman antarabangsa terhadap langkah yang dilihat bakal menjejaskan usaha keamanan di rantau itu.

Undian yang dijalankan pada Rabu menyaksikan 25 ahli parlimen menyokong dan 24 menentang usul tersebut daripada keseluruhan 120 kerusi Knesset. Menariknya, parti pemerintah Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak menyokong rang undang-undang itu, yang dikemukakan oleh ahli parlimen daripada luar gabungan pemerintah.

Dalam masa sama, satu lagi rang undang-undang yang mencadangkan pengilhakan penempatan haram Maale Adumim turut diluluskan dengan undian 31–9.

Beberapa anggota gabungan kerajaan Netanyahu, termasuk daripada parti sayap kanan Kuasa Yahudi yang diketuai Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir serta Zionisme Agama di bawah Menteri Kewangan Bezalel Smotrich, dilaporkan menyokong usul tersebut.
Bagaimanapun, langkah itu masih memerlukan proses perundangan yang panjang sebelum boleh dilaksanakan sepenuhnya.

Sekutu-sekutu sayap kanan dalam kerajaan Netanyahu telah lama mendesak agar Israel secara rasmi mencaplok wilayah Palestin di Tebing Barat, meskipun berdepan tentangan keras daripada komuniti antarabangsa.

Menurut keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2024, pendudukan Israel di wilayah Palestin termasuk Tebing Barat serta pembinaan penempatan haram Yahudi di kawasan itu adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan mesti ditarik balik dengan segera.

Kerajaan Netanyahu sebelum ini dilaporkan mempertimbangkan pengilhakan sebagai tindak balas kepada beberapa negara Barat yang mengiktiraf negara Palestin pada September lalu. Namun rancangan itu dikatakan dibatalkan selepas bantahan keras daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Trump, dalam satu sidang tertutup bersama pemimpin Islam di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, memberi jaminan bahawa Washington tidak akan membenarkan Israel mengambil alih Tebing Barat yang diduduki.

Sidang tersebut turut menyaksikan tekanan daripada negara-negara Arab dan Islam agar Amerika Syarikat memainkan peranan lebih tegas dalam menamatkan perang genosid Israel terhadap Gaza.

Langkah terbaru ini dilihat sebagai sebahagian daripada agenda perluasan penempatan haram Israel yang semakin agresif sejak perang di Gaza bermula tahun lalu.
Pelbagai pihak, termasuk PBB dan Kesatuan Eropah, memberi amaran bahawa pengilhakan Tebing Barat akan menghapuskan saki-baki peluang penyelesaian dua negara dan meningkatkan ketegangan di rantau Asia Barat.

Sumber: TRT World & agensi antarabangsa

Related Articles

Back to top button