
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan bahawa Malaysia bakal memperkenalkan pasport dan MyKad dengan wajah serta ciri keselamatan baharu dalam tempoh enam bulan akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa langkah ini adalah kritikal bagi memastikan integriti dan tahap keselamatan dokumen pengenalan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi. Menurut beliau, pasport Malaysia kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dan merupakan yang ketiga paling dipercayai dari segi akses perjalanan tanpa visa. Pembaharuan ini dilakukan untuk mengekalkan status tersebut dan menutup ruang kepada sebarang percubaan pemalsuan.
Spesifikasi ciri keselamatan baharu ini telah dibangunkan bersama oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Walau bagaimanapun, Saifuddin menasihatkan orang ramai agar tidak panik atau berpusu-pusu menukar dokumen mereka. Rakyat diminta terus menggunakan dokumen sedia ada sehingga tamat tempoh sah, dan pemakluman rasmi mengenai tarikh pelaksanaan akan dibuat kelak.
Sumber: BERNAMA






