Pasukan tentera Israel telah menahan sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin, termasuk seorang wartawan, dan mencederakan dua yang lain dalam siri serbuan di seluruh kawasan Tebing Barat yang diduduki. Dalam perkembangan berasingan, pendatang haram Israel turut bertindak menyerang kediaman dan membakar tanah pertanian rakyat Palestin berhampiran Ramallah.
Menurut Pejabat Media Tahanan Palestin pada hari Khamis, tentera Israel menahan sekurang-kurangnya 23 pemuda dari kampung Hajja di timur Qalqilya selepas menyerbu puluhan rumah dan melakukan proses soal siasat di lapangan.
Di Ramallah, pasukan Israel menyerbu rumah wartawan Alaa Al-Rimawi dan menahannya sebelum dibawa ke lokasi rahsia. Penahanan Al-Rimawi, yang bertugas untuk Al Jazeera Mubasher dan menguruskan rangkaian G Media, berlaku kurang setahun selepas beliau dibebaskan pada 7 Oktober 2025 daripada penahanan pentadbiran selama dua tahun. Beliau sebelum ini pernah melancarkan mogok lapar sewaktu penahanannya pada April 2021.
Operasi serbuan Israel ini turut diperluaskan ke beberapa wilayah lain:
-
Jenin: Dua beradik ditahan di bandar Ya’bad selepas rumah mereka diserbu.
-
Nablus: Pasukan Israel menahan dan memukul seorang penduduk semasa serbuan di kampung Kafr Qalil. Di kampung Qaryut, tentera menggeledah sebuah rumah selama beberapa jam, menahan dua beradik, dan didakwa mencuri sejumlah wang. Manakala di kem pelarian Al-Ain, tentera mengusir penduduk dan menjadikan kediaman mereka sebagai pusat soal siasat.
-
Baitulmaqdis: Beberapa pemuda ditahan dan disoal siasat di dalam Kelab Abu Dis yang telah dikuasai dan dirosakkan oleh tentera. Polis turut menyerbu beberapa kediaman dan menahan sejumlah individu, termasuk seorang gadis dan bapanya dari keluarga Al-Masimi.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) melaporkan dua individu tercedera dalam serbuan di Qalqilya; seorang ditembak dengan peluru hidup, manakala seorang lagi yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) mengalami kesesakan nafas akibat terhidu gas pemedih mata.
Sementara itu, sumber tempatan melaporkan kumpulan pendatang haram Israel menyerang rumah penduduk dan membakar tanah pertanian di kawasan Al-Wad Al-Shami, kampung Burqa di timur Ramallah, menyebabkan api marak hingga ke kawasan perumahan. Kampung tersebut sering menjadi sasaran serangan berulang oleh pendatang haram dan tentera Israel.
Israel telah mempergiat operasi ketenteraan dan serbuan di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur sejak bermulanya perang genosid di Gaza pada Oktober 2023. Tindakan ini merangkumi siri pembunuhan, penahanan besar-besaran, pengusiran paksa, perobohan rumah, dan perluasan penempatan haram.
(Sumber: Agensi / Anadolu Agency)







