
Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran berskala penuh selepas tinjauan satelit terkini menunjukkan hanya 1.5 peratus atau kira-kira 2.3 kilometer persegi tanah ladang di wilayah itu yang masih boleh diakses dan digunakan.
Tinjauan bertarikh 28 Julai yang dijalankan bersama Pusat Satelit PBB mendedahkan bahawa 86.1 peratus tanah pertanian Gaza telah rosak, manakala 12.4 peratus lagi tidak rosak tetapi tidak dapat diakses. Sebelum ini, pada Mei lalu, data menunjukkan kurang lima peratus tanah ladang masih selamat digunakan.
Ketua Pengarah FAO, Qu Dongyu, menegaskan bahawa rakyat Gaza kelaparan bukan kerana ketiadaan makanan, tetapi akibat sekatan yang menghalang akses, kejatuhan sistem agrimakanan tempatan, dan kemusnahan sumber pendapatan asas penduduk.
Beliau menyeru agar akses kemanusiaan yang selamat dan berterusan dibuka segera bagi memulihkan pengeluaran makanan tempatan dan mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.
“Hak untuk mendapatkan makanan adalah hak asasi manusia,” tegas Qu.
Sebelum perang Israel ke atas Gaza, sektor pertanian menyumbang kira-kira 10 peratus kepada ekonomi wilayah itu dan menjadi sumber pendapatan kepada lebih 560,000 orang — iaitu hampir satu perempat daripada jumlah penduduk — termasuk dalam sektor perikanan.
Sumber: AFP / TRT World