EkonomiSemasa

Pelabuhan Klang Disenarai 10 Pelabuhan Kontena Tersibuk Dunia – Lloyd’s List 2025

Malaysia melakar pencapaian bersejarah dalam sektor maritim apabila Pelabuhan Klang buat julung kalinya tersenarai di tangga ke-10 dalam Lloyd’s List 2025 Top 100 Ports, sekali gus meletakkannya antara 10 pelabuhan kontena paling sibuk di dunia.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), kedudukan baharu itu menandakan lonjakan konsisten Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lalu selepas berada di tangga ke-13 pada 2022 dan ke-11 pada 2023, di samping berjaya mengatasi Hong Kong.

“Pencapaian ini membuktikan daya saing pelabuhan negara serta mengangkat Malaysia sebagai kuasa maritim serantau,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

MOT menjelaskan, kejayaan tersebut didorong oleh pelaburan strategik dan pembangunan infrastruktur, termasuk projek pengembangan Westports (CT10-CT17) yang dijangka menggandakan kapasiti kepada 28 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) menjelang 2028.

Selain itu, Northport turut menaik taraf Dermaga 9 dan fasiliti berkaitan bagi menyokong operasi kapal bersaiz besar, manakala projek jangka panjang di Pulau Carey berpotensi meningkatkan kapasiti sehingga 30 juta TEU setahun menjelang 2060.

Bagi 2024, Pelabuhan Klang mencatatkan pengendalian 14.64 juta TEU, meningkat 4.1 peratus berbanding 14.06 juta TEU pada 2023. Jumlah itu dijangka terus meningkat kepada 14.98 juta TEU pada 2025 meskipun berdepan cabaran perdagangan global seperti krisis Laut Merah.

Sementara itu, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengekalkan kedudukan ke-15 dunia bagi dua tahun berturut-turut, dengan rekod pengendalian 12.25 juta TEU pada 2024, meningkat 16.9 peratus daripada 10.48 juta TEU pada 2023.

“Gabungan kekuatan Pelabuhan Klang dan PTP menjadikan Malaysia negara kelima terbesar dunia dari segi jumlah pengendalian kontena pada 2024, sekaligus memperkukuh peranan strategik negara di sepanjang Selat Melaka, laluan pelayaran paling sibuk di dunia,” menurut MOT.

Lloyd’s List, penerbitan maritim tertua dunia, saban tahun menerbitkan laporan penarafan 100 pelabuhan utama global berdasarkan kapasiti dan daya saing.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button