DomestikSemasa

Pelajar 14 Tahun Ditahan Polis Kerana Tumbuk dan Ugut Guru

Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas dipercayai menyerang seorang guru lelaki di sebuah sekolah menengah di Kajang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku selepas pelajar tersebut dikatakan tidak berpuas hati kerana ditegur oleh guru berkenaan yang berusia 29 tahun akibat ponteng kelas Pendidikan Jasmani (PJ).

“Selepas ditegur, berlaku pergelutan antara mereka sebelum pelajar terbabit menumbuk muka guru itu dan turut mengeluarkan ugutan terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kejadian berkenaan disaksikan beberapa guru dan pelajar lain. Susulan laporan polis yang dibuat oleh guru terbabit pada jam 7.15 malam semalam, polis berjaya menahan pelajar itu di sekitar kawasan Kajang.

Pelajar berkenaan kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kajang esok di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, sebuah video memaparkan insiden berkenaan turut tular di media sosial, memperlihatkan pelajar tersebut menumbuk guru terbabit.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button