DomestikSemasa

Pelajar PhD UMK Maut, Kereta Terjunam Ke Dalam Tasik

Seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) maut manakala rakannya cedera selepas kereta Perodua Axia yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam tasik di kampus universiti itu di Jeli petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang, mangsa, Muhammad Amidee Abdullah, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Kamarulzaman Harun, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 6.35 petang sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi. Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta berkenaan yang dipandu mangsa melalui selekoh dan menuruni bukit di dalam kawasan kampus sebelum hilang kawalan.

“Bedah siasat akan dijalankan di Bahagian Forensik Hospital Jeli dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, UMK dalam kenyataan malam ini memaklumkan Allahyarham berasal dari Kampung Manal Jaya, Tanah Merah, dan merupakan mahasiswa pascasiswazah di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi.

“Pada masa ini, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan UMK memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. UMK merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan turut menyediakan bantuan serta sokongan sepenuhnya bagi membantu mereka menghadapi saat sukar ini,” menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button