
Berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh anak keduanya, Muhammad Al Syafiq, 36, melalui hantaran di Instagram, menyatakan: “Ayah saya meninggal dunia waktu saya balik tadi, pukul 9.10 malam. Akan diurus di Masjid Abu Ubaidah, Taman Sri Rampai.”
Dharma, yang terkenal menerusi filem Adik Manja, sebelum ini menghidap beberapa masalah kesihatan termasuk asma, bengkak jantung dan paru-paru, gastrik serta masalah tiroid. Pada 2019, beliau mengalami angin ahmar yang menjejaskan pertuturan, dan kesan strok serta penyakit lain turut menurunkan daya ingatannya sehingga tidak lagi mampu bekerja.
Selain Muhammad Al Syafiq, Allahyarham turut dijaga oleh anak perempuannya, Siti Qurratu Aini, 37, yang masih mengikuti pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Pada Februari 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, menyampaikan sumbangan bagi membantu urusan harian Allahyarham.
Sumber: BERNAMA







