
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan Datuk Zaiton Mohd Hassan sebagai Presiden Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) yang baharu sebagai satu kebanggaan besar yang wajar dijadikan sumber inspirasi serta pembakar semangat buat seluruh anak Malaysia untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa.
Menerusi hantaran tahniah di Facebook, Anwar menekankan bahawa pelantikan Datuk Zaiton bagi menerajui badan profesional perakaunan bertaraf global tersebut merupakan satu pengiktirafan tertinggi terhadap kepimpinan, pengalaman luas, serta sumbangan besar beliau dalam bidang kewangan dan perakaunan. Ini termasuk usaha berterusan beliau dalam memperluas akses serta peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang berkenaan.
“Kepimpinan beliau juga diharap dapat terus memperkukuh standard profesionalisme, memperluas peluang pembangunan bakat serta mempersiapkan profesion perakaunan menghadapi landskap ekonomi dan teknologi yang semakin berkembang,” kata Perdana Menteri.
Datuk Zaiton, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC), melakar sejarah sebagai individu Melayu pertama yang dilantik untuk menerajui badan perakaunan profesional global berkenaan, yang kini mewakili lebih 266,000 ahli dan 546,000 bakal ahli di 179 buah negara.
Sebelum ini, beliau telah menganggotai Majlis ACCA sejak tahun 2016 sebelum memegang jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden. Memulakan kerjaya profesional di PricewaterhouseCoopers (PwC), beliau juga merupakan individu penting di sebalik penubuhan agensi penarafan kredit nasional, selain kini berkhidmat sebagai Pengerusi GX Bank serta memegang pelbagai jawatan lembaga pengarah dan penasihat tadbir urus.
Sumber Maklumat: BERNAMA







