Covid19Semasa

Pembukaan semula sempadan Thai-Malaysia mulai bulan depan

BANGKOK : Sebagai langkah bagi merangsang sektor pelancongan dan ekonomi di wilayah selatan, kerajaan Thailand merancang pembukaan semula sempadan Thai-Malaysia bulan depan.

Timbalan jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek berkata arahan bagi menggariskan langkah mitigasi pandemik bagi pembukaan semula pusat pemeriksaan sempadan di Songkhla, Yala , Narathiwat dan Satun telah diberikan kepada Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) serta pusat operasi kecemasan pelancongan dan sukan oleh Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha.

Menurut laporan Bangkok Post, pelancong dari negara jiran akan dibenarkan masuk di bawah skim ‘Test and Go’ tanpa kuarantin ketika ketibaan berikutan dasar kerajaan untuk membuka gelembung perjalanan dengan Malaysia.

Bagaimanapun, sebaik tiba di Thailand, pelawat masih perlu lulus dua ujian RT-PCR.

“Perdana menteri yakin Thailand akan kekal sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia walaupun berdepan pandemik.

“Usaha untuk menggiatkan semula pelancongan dengan penekanan pada kesihatan dan keselamatan awam akan menerima sokongan dan pihak kerajaan,” kata Rachada.

Inspektor Jeneral yang bertugas di zon kesihatan awam 12, Dr Suthep Phetmak, berkata situasi Covid-19 di Malaysia dan Thailand adalah sama.

Pada 12 Februari lalu, terdapat kira-kira 20,000 kes baharu. Agensi kesihatan awam menjangkakan risiko pembukaan semula sempadan adalah rendah.

Sebelum pembukaan semula, agensi kerajaan akan menyediakan proses imigresen, ujian, hotel dengan standard SHA+ dan perniagaan dengan Tetapan Bebas COVID, termasuk pengangkutan awam, lokasi pelancongan, restoran dan pusat beli belah, katanya.

AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button