
Pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid, mengecam keras kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menuduhnya membawa negara ke dalam “malapetaka politik” akibat usaha memanjangkan konflik berdarah di Gaza. Dalam kenyataannya di platform X pada Selasa, Lapid berkata, “Kerajaan ini telah membawa kita ke dalam malapetaka politik. Satu demi satu kegagalan.”
Lapid turut mengkritik Netanyahu kerana “tidak hadir dalam arena politik” dan melabel Menteri Luar Gideon Sa’ar sebagai “tidak berguna.” Beliau juga menuduh menteri Kabinet membahayakan askar Israel dengan kenyataan mereka.
Kekecewaan terhadap kerajaan semakin meningkat berikutan kegagalan mencapai gencatan senjata di Gaza dan membebaskan tebusan. Pembangkang serta keluarga tawanan menuduh Netanyahu tunduk kepada menteri ekstrem seperti Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich demi mengekalkan kuasa politiknya.
Pemimpin parti Demokrat, Yair Golan, berkata Netanyahu telah hilang kawalan ke atas kerajaannya. “Ini bukan lagi kerajaan Netanyahu, tetapi kerajaan Smotrich dan Ben-Gvir,” katanya, merujuk kepada pengaruh kuat dua menteri sayap kanan yang mewakili golongan ekstrem. Golan menambah, mereka “menghantar anak-anak kita mati di medan perang, mensabotaj perjanjian pembebasan tebusan, dan mengheret perang ini selama-lamanya.”
Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 60,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza. Anggaran pakar menunjukkan jumlah kematian sebenar mungkin mencecah 200,000, dengan kira-kira 11,000 lagi dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan, menurut agensi berita WAFA Palestin. Gaza kini musnah teruk, dengan hampir keseluruhan penduduknya dipindahkan.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan. Israel juga berdepan dengan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung konflik di Gaza.
Sumber: TRT World & Agensi