Ilmu bahasa, sastera tidak harus dilupakan – PMX
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam era yang dikuasai digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), aspek ketamadunan seperti ilmu bahasa dan sastera tidak harus dilupakan kerana ia merupakan kekuatan nilai dan akhlak sesebuah masyarakat.
Beliau berkata negara juga tidak boleh berkembang tanpa pembinaan tamadun.
“Kita kan manusia. Manusiawi itu tidak mampu dibentuk dengan hanya kerangka teknologi digitalisasi, ia dibentuk dengan pembangunan bangsa dan budaya”.
“Dalam mengangkat martabat bangsa, ya ekonomi masih asas penting. Tetapi kita bicara soal kalau (pembangunan) karamah insaniah tentulah pada ilmu, akhlak dan budaya,” katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.
Pada majlis yang membincangkan tajuk ‘Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia’, Anwar berkata wancana ilmiah seumpamanya harus diperluaskan bagi membina tamadun dan mengangkat martabat masyarakat Malaysia Madani.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Seri Dr Awang Sariyan.
Dalam ucaptamanya, Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil sebagai seorang yang sangat mementingkan keperluan islah serta pemikiran baharu dalam kalangan masyarakat Melayu yang dinamik dan progresif.
“Dalam antara pertemuan akhir saya dengan beliau sebelum beliau sakit, beliau kata Anwar kita kena pusing sekali lagi dan bicara soal Melayu dan Islam, kefahaman yang lebih progresif, merujuk kepada keperluan pembaharuan“.
“Beliau ada menulis memberikan rangka-rangka bagaimana kita boleh melatih anak-anak muda supaya dapat memanfaatkan kefahaman ini,” kata Anwar.
Allahyarham Siddiq yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meninggal dunia pada 31 Ogos 2021.
Selain pernah diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi 2018, Allahyarham juga dilantik Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia dan Pengerusi Institut Darul Ehsan.
BACA JUGA
Pelajar USIM teruja sertai gerak kerja program MAPIM