
Kejohanan Pickleball Terbuka Perak 2025 yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Sept ini di Pickleball Fun Club (PFC), Ipoh dijangka meriah apabila turut menarik penyertaan peserta antarabangsa dari China dan Singapura.
Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie berkata, lebih 200 individu telah mengesahkan penyertaan bagi kejohanan berskala nasional itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,000.
“Kejohanan ini dianjurkan Perfect Sports Pickleball Club dengan kerjasama Pickleball Fun Club Ipoh serta mendapat sokongan Tourism Perak. Ia sekali gus menjadi kejohanan pickleball terbesar pernah dianjurkan di Perak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, kejohanan berkenaan dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu pemain baharu, amatur dan terbuka, melibatkan enam kategori termasuk beregu lelaki, beregu campuran serta perseorangan lelaki berumur 19 tahun ke atas.
Mohamad Kamil berkata, selain menawarkan ganjaran, penganjuran kejohanan ini juga menjadi platform mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan sehingga ke peringkat kebangsaan, termasuk berpeluang mewakili Perak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
“Usaha ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan sukan yang terkenal,” katanya.
Tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 11 Sept dan orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui laman rasmi Facebook dan Instagram Pickleball Fun Club (PFC).
— BERNAMA







