PalestinSemasa

Pengakuan Bekas Askar AS Mengenai Pembunuhan Kanak-Kanak Palestin Cetus Kemarahan Dunia

Oleh : Alaa Madeng

Satu pendedahan mengejutkan oleh bekas askar Amerika Syarikat yang pernah bertugas di sebuah pusat agihan bantuan di Gaza telah mencetuskan gelombang kemarahan di media sosial, selepas beliau menceritakan detik-detik terakhir seorang kanak-kanak Palestin bernama Amir yang ditembak mati oleh tentera Israel ketika mencari makanan.

Anthony Aguilar, bekas tentera AS yang berkhidmat di Pusat Agihan dikendalikan Gaza Humanitarian Foundation dengan sokongan Amerika dan Israel di Tel al-Sultan, barat Rafah, berkata kejadian itu berlaku pada 28 Mei 2025, pada hari pusat bantuan tersebut dipenuhi orang awam.

Menurut Aguilar, Amir – seorang kanak-kanak kurus, berkaki ayam – berjalan sejauh 12 kilometer di bawah panas terik untuk mendapatkan makanan. Selepas menunggu berjam-jam, Amir hanya memperoleh segenggam nasi dan kacang dal yang terjatuh di tanah.

“Dia datang menghampiri saya, mencium tangan dan berkata: ‘Thank you’. Beberapa minit kemudian, ketika berjalan pulang bersama orang awam lain, tentera Israel melepaskan gas pemedih mata dan tembakan. Amir terkena peluru dan meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Aguilar menggambarkan suasana di Gaza pada hari itu sebagai “kematian yang datang lebih cepat”, dengan ribuan penduduk hidup kelaparan, tidur di atas pasir, dan kanak-kanak berebut beg tepung kosong. Namun baginya, Amir berbeza – wajahnya membawa beban usia, matanya “mengatakan segalanya”.

Pengakuan itu mencetuskan kemarahan luas, dengan aktivis menyifatkan ia membongkar kepalsuan operasi kemanusiaan di Gaza yang diselubungi realiti kebuluran dan pembunuhan sistematik terhadap kanak-kanak. Ada yang mendakwa pusat bantuan kini menjadi alat penghinaan terhadap rakyat Gaza, manakala kisah Amir dianggap simbol kekejaman yang sedang berlaku.

“Berapa ramai lagi kanak-kanak seperti Amir yang terbunuh tanpa kisah mereka didengar? Jenayah ini menggoncang hati nurani,” kata seorang pengguna media sosial.

Aktivis juga menggesa kisah Amir diterjemahkan ke semua bahasa dunia, membandingkan nasibnya dengan kes tragis Hind Rajab yang pernah mencetuskan simpati antarabangsa.

Sejak hujung Mei, Gaza Humanitarian Foundation melaksanakan projek bersama AS dan Israel untuk mengurus agihan makanan di Gaza, menggantikan peranan organisasi antarabangsa yang menolak terlibat, dengan alasan ia adalah “perangkap” untuk membunuh orang awam dan merendahkan maruah mereka.

Related Articles

Back to top button