DomestikSemasa

Pengasuh Taska Didakwa Cuai Sehingga Bayi Maut

Seorang pengasuh taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuai sehingga mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan, Mei lalu.

Tertuduh, Nor Fatihah Abdul Rahim, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan, Nor Fatihah selaku pengasuh didakwa gagal menyediakan pengawasan serta pemeliharaan sewajarnya, sehingga menyebabkan kematian bayi itu di sebuah taska di Wangsa Maju pada 11.08 pagi, 26 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding, tertuduh dilihat menangis teresak-esak di kandang tertuduh sebelum digari untuk dibawa ke lokap mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon tertuduh tidak dibenarkan jaminan memandangkan kes melibatkan kematian bayi serta dikhuatiri tertuduh melarikan diri.

“Jika mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 bersama syarat tambahan, termasuk melapor diri sebulan sekali di balai polis, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi,” katanya.

Nor Fatihah yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan diringankan kerana menanggung keluarga serta bakal melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September ini.

Pada 28 Mei lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Syahrul Anuar Abdul Wahab memaklumkan hasil bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur mendapati bayi berkenaan meninggal dunia akibat sesak nafas (asphyxia) berpunca daripada tersedak makanan dan susu.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button