PalestinSemasa

Perarakan Obor & Goodness Ships: Türkiye Teguh Sokong Gaza di Tengah Perang Israel

Puluhan ribu rakyat Türkiye membanjiri Dataran Bersejarah Beyazit hujung minggu lalu dalam perarakan cahaya obor sebagai tanda protes terhadap pembunuhan beramai-ramai dan sekatan Israel ke atas Gaza sambil mengiringi misi kemanusiaan “Kapal Kebaikan” yang terus menghantar bantuan ke wilayah bergolak itu.

Dengan slogan “Jadilah Cahaya Harapan untuk Gaza”, para peserta membawa bendera Palestin dan sepanduk melaungkan seruan solidariti seperti “Anak-anak Gaza sedang menunggu kita”. Perarakan anjuran gabungan 15 pertubuhan bukan kerajaan di bawah Platform Solidariti Palestin itu bermula selepas solat magrib dan melalui Masjid Agung Ayasofya.

Acara ini berlangsung ketika Gaza berdepan fasa paling getir dalam sejarahnya dengan lebih 61,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023 dan bantuan kemanusiaan hampir terhenti sejak Mac lalu akibat sekatan Israel.

Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan, pada 11 Ogos mengumumkan panggilan mesyuarat menteri luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyelaras tekanan diplomatik terhadap pendudukan tentera Israel. “Kami menggerakkan semua sumber negara dan kapasiti diplomatik untuk menjadi cahaya harapan bagi Gaza,” tegasnya.

Sejak Oktober lalu, Bulan Sabit Merah Turki telah menghantar lebih 15,000 tan bantuan melalui “Kapal Kebaikan” termasuk makanan, kit kebersihan, peralatan perlindungan serta bekalan perubatan yang diagihkan kepada pelarian Palestin melalui UNRWA. Di Gaza, dua dapur lapangan berkapasiti 15,000 hidangan setiap hari telah mengedarkan lebih 6.7 juta hidangan panas selain menyediakan 1.66 juta liter air minuman bersih.

Türkiye juga telah menghantar 101,000 tan bantuan ke Gaza termasuk khemah, pakaian, mainan kanak-kanak, hospital lapangan, ambulans serta bantuan kewangan bernilai AS$7.5 juta kepada Bulan Sabit Merah Mesir. Malah, 430 pesakit Gaza telah dibawa ke Türkiye untuk rawatan susulan kerosakan teruk kemudahan kesihatan di wilayah itu.

Bagi Türkiye, perjuangan membela Gaza bukan sekadar dasar luar tetapi satu prinsip kemanusiaan. Ketika api obor menyinari bendera Palestin di hadapan Masjid Ayasofya, mesej rakyat dan pemimpin Türkiye bergema lantang bahawa Gaza tidak akan dibiarkan sendirian.

— Sumber: TRT Global

Related Articles

Back to top button