Perjuangan sama misi berbeza, Bicara Ummah satukan MAPIM dan PPIM
Ujian tidak lunturkan hubungan sesama ummah
BANGI : Dalam kesibukan dunia berdepan wabak pandemik COVID-19, ada negara yang dihimpit dengan ancaman peperangan dari segenap penjuru, tidur yang tidak lagi lena, berkais mencari makanan dan berbumbungkan langit biru menjadi norma kehidupan buat sesetengah negara.
Bicara Ummah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membuka ruang perbincangan daripada kedua insan hebat dalam membangunkan kelestarian ummah iaitu Ketua Aktivis dan Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) , Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif, MAPIM Malaysia, (Dr) Sani Araby Al Kahery.
‘Perjuangan Bersama Demi Pengguna’
Datuk Nadzim Johan atau lebih mesra dikenali sebagai Toqqi menyuarakan pengalaman serta pendapat beliau dari aspek ‘Perjuangan Bersama Demi Pengguna’, menyentuh keadaan semasa yang sukar hingga mengheret masyarakat khusus rakyat Malaysia terjerumus dalam kegawatan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa.
Toqqi akui pelbagai aduan diterima, lebih-lebih lagi laporan jumlah bunuh diri yang semakin membimbangkan membuktikan keadaan rakyat yang semakin tertekan.
Pelaksanaan undang-undang yang tidak menentu di pasca pandemik ini membuatkan rakyat semakin buntu untuk mematuhi arahan daripada pihak kerajaan. Ketidakadilan dalam memberi hukuman lebih mencurahkan minyak ke dalam api.
Selaku pengerusi PPIM, Toqqi juga peka akan situasi semasa para pekerja, ada yang tertekan dibuang kerja dan ada juga yang dibayar sedikit biarpun kerja lebih masa. Ini antara penyumbang kepada gangguan emosi atau tekanan yang semakin merungsingkan.
“Saya mohon para pentadbir supaya bersimpati, duduk dalam kasut orang yang susah ini,” – Datuk Nadzim Johan/ Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Dalam pada masa yang sama, Toqqi menasihatkan agar rakyat Malaysia cuba melatih diri dan ahli keluarga untuk sentiasa meraih peluang untuk kehadapan dan contohi kegigihan saudara di Palestin yang diuji dengan lebih berat.
Mengulas lanjut persoalan moderator Bicara Ummah, Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol, menyentuh isu mengenai pengendalian informasi vaksin daripada PPIM kepada pengguna Islam, aktivis PPIM itu berpendapat pihak kerajaan seharusnya menubuhkan sebuah lagi persatuan khas.
Hal ini kerana, kurangnya informasi yang tepat daripada keajaan mengenai keberkesanan dan kandungan dalam vaksin itu sendiri mendatangkan keraguan kepada pengguna Islam.
Bantuan kemanusiaan MAPIM di bumi Syams
Tatkala Malaysia cemas memerangi COVID-19, saudara di Gaza dan di Syria cemas memikirkan makanan dan tempat tinggal untuk meneruskan kehidupan.
Berhadapan dengan gelombang peperangan puak musuh tidak langsung meruntuhkan semangat mereka untuk berjuang mempertahankan tanah tercinta. Meskipun, keadaan serba kekurangan dan tidak lari dari terkesan dengan pandemik semasa.
Namun, dalam cemas antara tiga negara ini iaitu Malaysia, Palestin dan Syria, (Dr) Sani beranggapan ada satu titik persamaan antara tiga negara ini, iaitu titik iman.
“Walau cemas macam mana sekalipun, kita kembali pada titik asal, saya merasakan ada satu titik penguat antara ketiga-tiga dunia ini, iaitu titik iman. Orang yang beriman, dia akan cepat merasakan ini ujian.” – (Dr) Sani Araby Al Kahery/ Ketua Pegawai Eksekutif, MAPIM Malaysia
Lantas, pihak MAPIM Malaysia menggesa gerakan bantuan secara serentak disalurkan kepada ketiga-tiga kawasan ini iaitu Gaza, Syria dan Malaysia.
(Dr) Sani juga menyatakan sumbangan masyarakat kepada MAPIM amat membantu dalam melancarkan misi bantuan ke kawasan sasaran rejim itu. Difahamkan antara hasil sumbangan itu ialah wujudnya 21 ambulan MAPIM di seluruh dunia, manakala, 10 ambulan di Gaza.
Bukan itu sahaja, wang juga disalurkan untuk ladang-ladang dan pembangunan semula perumahan yang ranap di bom tentera Zionis.
Seterusnya, menjawab persoalan adakah bantuan sampai atau tidak ke Gaza, ketua aktivis itu memaklumkan, seminggu sebelum perayaan Aidilfitri, MAPIM berjaya menghantar tiga kontena mengandungi barang keperluan asas, ubat-ubatan dan makanan.
Tambah beliau, perjalanan menghantar bantuan ke Gaza tidaklah mudah seperti apa yang disangka, apabila setiap hantaran perlu melalui 40 check point bermula dari Kaherah ke Rafah.
MAPIM juga berkesempatan turut berbangga kerana pada tahun 2021, dalam sejarah, 120 badan bukan kerajaan bekerjasama dalam dua gagasan berjuang membantu saudara di Palestin yang tertindas.
“Selagi kita bernyawa, kita masih lagi boleh buat sesuatu. Kerana sebaik-baik manusia, adalah manusia yang mendatangkan manfaat kepada orang lain.” – (Dr) Sani Araby Al Kahery/ Ketua Pegawai Eksekutif, MAPIM Malaysia
(Dr) Sani juga mengingatkan seluruh masyarakat Malaysia untuk bersatu hati memerangi COVID-19. Beliau percaya jika tiada kesepakatan antara satu sama lain, akan wujud lebih banyak kluster, sehinggakan pada akhirnya situasi ini selari dengan kata-kata Rasulullah SAW, iaitu umat akhir zaman akan berada seperti buih-buih di lautan.
Ketua aktivis MAPIM itu,berkata jika umat Islam boleh bersatu demi mempertahankan Palestin sehingga mendapat perhatian Israel, maka, rakyat Malaysia juga mampu bersama-sama melandaikan lengkung jangkitan wabak COVID-19.
Oleh : Wartawan UmmahToday – Nurshazlin Shahrom / Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran)
______________________________
MASA UNTUK BERTINDAK
MAPIM Malaysia merayu infaq rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin. Boleh terus salurkan ke
https://www.billplz.com/tabungkilatgaza
ATAU
menerusi Akaun Maybank
Dana MAPIM :
5628 3463 6620
MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016
Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia