Pejabat Peguam Negara California mengumumkan bahawa pertuduhan terhadap lima bekas pelajar dan pelajar semasa Universiti Stanford berhubung demonstrasi pro-Palestin pada tahun 2024 akan dibatalkan.
Peguam Negara Rob Bonta memaklumkan bahawa pembatalan itu bersyarat, di mana kesemua lima defendan perlu melengkapkan 100 jam khidmat masyarakat serta membayar ganti rugi (restitusi) kira-kira USD52,000 kepada pihak universiti.
Timbalan Pembela Awam Daerah Santa Clara, Avi Singh, yang mewakili salah seorang defendan, menyatakan bahawa anak guamnya bersetuju dengan terma tersebut untuk membuat pampasan penuh dan melengkapkan khidmat masyarakat agar mereka dapat meneruskan kehidupan.
Latar Belakang Kes Demonstrasi 2024
Kes berkenaan berpunca daripada tindakan penunjuk perasaan yang mengurung diri di dalam pejabat presiden universiti semasa demonstrasi pro-Palestin pada Jun 2024. Perbuatan itu mendatangkan kerosakan teruk pada bangunan terbabit, di mana para penunjuk perasaan turut menamakan semula pejabat itu sebagai “Pejabat Dr. Adnan” bagi memperingati Dr. Adnan Al-Bursh, seorang doktor Palestin yang meninggal dunia dalam tahanan penjara Israel.
Pada Februari lalu, seorang hakim telah mengisytiharkan perbicaraan yang salah (mistrial) selepas barisan juri gagal mencapai kata sepakat. Daripada 12 individu yang didakwa atas pertuduhan vandalisme jenayah pada peringkat awal, tujuh daripadanya telah menerima tawaran pengakuan bersalah atau program pengalihan sebelum ini. Kes itu kemudiannya dikendalikan oleh Pejabat Peguam Negara California selepas pihak pembelaan berjaya memohon supaya Pejabat Peguam Daerah Santa Clara dikeluarkan daripada pendakwaan.
Demonstrasi di Universiti Stanford merupakan sebahagian daripada gelombang protes mahasiswa di seluruh kolej Amerika Syarikat pada 2024 yang menuntut penghentian serangan kejam Israel ke atas Gaza serta mendesak universiti melupuskan pelaburan daripada syarikat yang menyokong rejim Israel.
Sumber: TRT World dan Agensi






