
Imigresen FC (IFC) mencipta kejutan besar dalam saingan Piala FA apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 pasukan di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, petang tadi.
Penyerang import Brazil, Joao Pedro muncul wira tuan rumah selepas menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-91, sekali gus memberi bekalan berharga buat IFC menjelang aksi timbal balik di Kuala Terengganu pada 13 September depan.
Terdahulu, dua jaringan Yann Kevin Mabella buat TFC pada minit ke-14 dan 36 dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) – masing-masing kerana kekasaran terhadap kapten IFC, Mohd Rizal Ghazali, serta ofsaid.
Mabella akhirnya berjaya meletakkan TFC di depan pada minit ke-50 hasil hantaran kemas daripada Engku Muhammad Nur Shakir dan Azam Azmi. Namun, kedudukan itu hanya bertahan empat minit sebelum Rafael Iserhard Holstein menyamakan kedudukan buat IFC, hasil gerakan menarik pemain gantian dari Burundi, Elvis Kamsoba.
IFC hampir mendahului pada minit ke-73 menerusi Mohammad Fayadh, tetapi gol itu dibatalkan kerana bola terlebih dahulu terkena tangan sebelum jaringan.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Pedro memastikan kemenangan bersejarah untuk IFC, sekali gus menyalakan harapan skuad bimbingan tuan rumah untuk mara lebih jauh dalam kejohanan.
Dalam aksi lain, Sabah FC membuka kempen dengan bergaya selepas menundukkan Bunga Raya FC 6-0 di Paroi. Hatrik Darren Yee (11’, 48’, 53’ penalti), dua sepakan penalti Muhammad Jafri Firdaus Chew (45+1) dan Ajdin Mujagic (81’), serta jaringan Fergus Tierney (19’) melengkapkan pesta gol Sang Badak.
Di Stadium Hang Jebat, Krubong, Penang FC pula menewaskan Melaka FC 2-0 menerusi dua gol penyerang import, Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-48 dan 81. Terdahulu, satu lagi jaringannya pada minit ke-41 dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan berlaku kekasaran.
— BERNAMA