DomestikSemasa

Piala FA: Kuching City Cipta Sejarah Ke Separuh Akhir Bertemu JDT

Kuching City FC mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama selepas menyingkirkan Terengganu FC dengan agregat 5-3.

Pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak itu melangkah ke kelompok empat terbaik hasil kemenangan besar 4-1 pada aksi pertama suku akhir di tempat lawan, sebelum tewas tipis 1-2 pada perlawanan timbal balik di Stadium Negeri, Sarawak malam ini.

Pada perlawanan di laman sendiri, Terengganu terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan penyerang import, Raianderson da Costa Morais pada minit ke-11. Kuching City bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-31 selepas Wanja Ronald Ngah berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Raianderson sekali lagi menjadi tumpuan apabila menjaringkan gol kedua Terengganu pada masa tambahan separuh masa kedua, namun jaringan itu tidak cukup untuk menafikan kemaraan Kuching City ke separuh akhir buat julung kali dalam sejarah kelab berkenaan.

Di pentas separuh akhir, Kuching City akan berdepan cabaran besar menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut mengesahkan kemaraan selepas menewaskan Penang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri untuk kemenangan agregat 5-1.

Skuad Harimau Selatan bimbingan Xisco Munoz membuka tirai jaringan menerusi rembatan penyerang utama Bergson da Silva pada minit ke-38. Dua minit kemudian, pertahanan JDT Jonathan Silva menggandakan jaringan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan gol yang pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid.

Menjelang penghujung babak pertama, Penang FC terus dirundung malang apabila tandukan Eddy Israfilov hasil sepakan sudut Arif Aiman Mohd Hanapi menembusi gawang untuk menjadikan keputusan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu mengekalkan misi JDT untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA buat kali keempat berturut-turut sejak 2022.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button