Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Thonny Chee, membidas kritikan yang mendakwa beliau sukar berkomunikasi dengan masyarakat Cina kerana tidak menguasai bahasa Mandarin, sebaliknya hanya fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.
Chee berkata isu bahasa bukan halangan untuknya berkhidmat kepada komuniti kerana penduduk di kawasan DUN Api-Api juga fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. “Saya boleh gunakan dua bahasa ini untuk berkomunikasi dengan mereka. Orang yang cuba menggunakan isu ini sebenarnya tidak bijak kerana tiada isu di situ,” katanya selepas beramah mesra dengan pengundi di beberapa premis di DUN Api-Api.
Beliau menambah bahawa beliau memahami perkataan yang dituturkan dalam bahasa Mandarin tetapi tidak berani membalas kerana bimbang disalahertikan. “Bahasa Mandarin ada intonasi yang berbeza-beza. Kadang-kadang sebutannya sama tetapi sedikit perubahan intonasi boleh menukar maksud. Jadi daripada saya bimbang salah cakap, bagus saya gunakan bahasa Melayu atau Inggeris kerana mereka pun faham. Pada masa sama, saya sedang belajar memperbaiki penguasaan bahasa Mandarin dengan sifu saya di sebelah ini,” katanya merujuk kepada Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.
DUN Api-Api adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Kota Kinabalu selain Likas dan Luyang. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian manakala 25 Nov sebagai hari mengundi awal.
Sumber: BERNAMA







