SemasaSukan

Qurratu’ Ain Izdihar Sumbang Emas Kedua di Kejohanan Boling Remaja Asia

Atlet boling remaja negara, Qurratu’ Ain Izdihar Mohd Pozi meneruskan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa apabila merangkul pingat emas kedua di Kejohanan Boling Remaja Asia ke-24 yang berlangsung di Doha, Qatar.

Dalam acara beregu wanita yang berlangsung hari ini, Qurratu’ Ain bergandingan dengan Adelia Nur Syazalee untuk menampilkan aksi mantap dan konsisten, mencatatkan jumlah keseluruhan 2,440 jatuhan pin.

Keputusan tersebut meletakkan pasangan Malaysia jauh mengatasi pencabar terdekat dari Taiwan, Yi Qing Ho dan Hsin Tsen Huang yang sekadar meraih pingat perak dengan 2,242 jatuhan pin. Satu lagi pasangan Taiwan, Yo Rou Li dan Yun Ying Chen, menduduki tempat ketiga dengan 2,222 jatuhan pin.

Kejayaan ini menambah koleksi pingat emas Qurratu’ Ain, selepas beliau mencipta kejutan dalam acara individu wanita pada Ahad lalu dengan menewaskan wakil China, Li Yiru, hanya dengan kelebihan satu jatuhan pin. Kemenangan itu merupakan emas pertama buat kontinjen Malaysia di kejohanan tersebut.

Pencapaian cemerlang Qurratu’ Ain menunjukkan potensi besar atlet muda negara dalam sukan boling, serta menjadi dorongan kepada rakan sepasukan lain untuk terus bersaing di pentas Asia.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button