
Walaupun berdepan jadual padat antara latihan intensif dan persiapan peperiksaan SPM 2025, pemain boling muda negara, Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi, tetap membuktikan kemampuan luar biasa apabila membawa pulang lima pingat emas pada Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha, Qatar.
Anak kelahiran Selangor yang baru menyertai skuad kebangsaan pada Januari lalu itu mengakui terkejut dengan pencapaiannya, apatah lagi semua acara yang disertainya memerlukan fokus dan konsistensi tinggi.
“Semua pertandingan mencabar, tapi dengan bimbingan jurulatih dan sokongan keluarga, saya dapat kekalkan prestasi. Sekarang, saya mahu seimbangkan fokus antara akademik dan latihan,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Menjelang kejohanan, Qurratu’Ain dan rakan sepasukan menjalani latihan dua kali sehari — pagi dan petang — tanpa henti selama dua minggu untuk memantapkan kekuatan fizikal dan mental. Bagi atlet berusia 17 tahun itu, kejayaan ini adalah hadiah untuk keluarga, jurulatih, dan semua yang percaya pada bakatnya.
Mengulas peluang ke Sukan SEA Thailand 2025, Qurratu’Ain berkata setakat ini namanya belum tersenarai, namun dia akan terus berlatih dan memberi fokus kepada kejohanan seterusnya iaitu Kejohanan Remaja Asia di Sunway Megalanes pada bulan ini.
Secara keseluruhan, skuad remaja negara menutup kempen di Doha dengan tujuh emas, satu perak dan lima gangsa.







