Semasa

Tiada syarikat Malaysia dapat lesen import air zam zam – KKM

PUTRAJAYA : Tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM, setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport seperti yang termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Dr Noor Hisham berkata sekiranya terdapat pengimportan air zam zam yang tidak berlesen, tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan.

“Justeru itu, air zam zam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya,” katanya.

Tambahnya, nilai rampasan ke atas air zam zam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20 hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 sehingga kini.

Beliau berkata sejumlah 237 iklan makanan telah dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 hasil saringan BKKM terhadap platform dalam talian, dengan 32 daripada iklan makanan yang dipadam itu adalah iklan air zam zam.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 23 dan 40 iklan air zam zam masing-masing telah dipadam daripada media sosial berdasarkan pemantauan di media sosial pula pada 2021 dan 2022.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zam zam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ia air zam zam tiruan,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button