
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan memberi penekanan kepada penggunaan teknologi moden seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Building Information Modelling (BIM) bagi meningkatkan kecekapan projek pembinaan negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata langkah ini dijangka mempercepatkan tempoh siap projek, mengurangkan pembaziran bahan, serta menurunkan kos keseluruhan pembinaan.
“RMK-13 juga menyasarkan pembinaan sejuta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun dengan kerjasama kerajaan dan pemaju swasta, selain memperluaskan pembangunan berorientasikan transit (TOD) untuk mengintegrasikan perumahan dengan sistem pengangkutan awam. Ini peluang besar untuk kontraktor Bumiputera memainkan peranan utama,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), malam ini.
IBS adalah kaedah pembinaan menggunakan komponen pasang siap yang dihasilkan di kilang sebelum dipasang di tapak, manakala BIM ialah teknologi perisian yang menghasilkan model digital 3D lengkap dengan maklumat teknikal bangunan.
Pada majlis tersebut, Amir Hamzah turut melancarkan PKBM BIM Satellite Centre, pusat latihan hasil kerjasama PKBM dan CIDB E-Construct Services Sdn Bhd, bagi melahirkan kontraktor mahir BIM untuk projek bernilai RM10 juta ke atas.
Beliau berkata pusat itu akan membimbing kontraktor dari peringkat perancangan hingga penyelenggaraan, sekali gus meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan produktiviti sektor pembinaan selaras aspirasi transformasi digital Kerajaan MADANI.
-Bernama