EkonomiSemasa

RMK13: Had Umur Persaraan Wajib Akan Diteliti Semula – PM Anwar

Kerajaan akan meneliti semula had umur persaraan wajib bagi menyesuaikan dasar negara dengan status Malaysia sebagai sebuah negara tua menjelang 2030, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara tersebut diumumkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, di bawah prakarsa kesembilan yang memberi fokus kepada keadilan sosial dan peluang saksama untuk semua lapisan masyarakat.

Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi, semakan semula ini adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memperkukuh ekosistem perburuhan dan menangani perubahan demografi negara.

Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta 753) akan disemak bagi membolehkan pelaksanaan undang-undang baharu berkaitan penggajian semula selepas mencapai umur persaraan minimum,” menurut kenyataan dalam dokumen tersebut.

Kerajaan juga sedang mempertimbangkan cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam, mengikut skim perkhidmatan masing-masing, yang akan melibatkan semakan ke atas Akta Pencen 1980 (Akta 227).

Pada Mei lalu, Perdana Menteri menyatakan bahawa cadangan untuk menaikkan umur persaraan daripada 60 kepada 65 tahun wajar diberikan perhatian serius, namun memerlukan kajian menyeluruh sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

Untuk rekod, had umur persaraan 60 tahun yang diamalkan ketika ini merupakan antara yang paling rendah di peringkat antarabangsa dan serantau, menurut satu laporan firma perundingan pencen global.

RMK13 yang dibentangkan hari ini turut menyentuh pelbagai aspek reformasi struktur ekonomi, pembangunan wilayah, dan kesejahteraan rakyat, termasuk strategi penggubalan dasar pekerjaan yang lebih inklusif dan bersifat jangka panjang.

— BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button