Dari luar makmal, harum bunga tropika sudah dapat dihidu, dan sebaik pintu dibuka, ruang sederhana besar itu dipenuhi aroma wangi yang menyegarkan. Dr Mohd Azri Ab Rani, pakar kimia kelahiran Felda Keratong 2, tekun meneliti larutan-larutan dalam kelalang kaca yang menjadi asas “resipi rahsia” minyak wangi beliau.
Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa satu penemuan tidak sengaja ketika kajian elektrolit bateri pada 2020 akan membawanya ke dunia perfumery. Walaupun bidang kepakarannya asalnya berkaitan teknologi bateri pelbagai guna, sebatian unik yang dihasilkan membuka lembaran baharu dalam penghasilan minyak wangi. Hasilnya, Dr Azri kini memiliki jenama sendiri, Dr Azri Perfume, dengan ketahanan aroma sehingga 72 jam, jauh melebihi kebanyakan minyak wangi komersial.
Pada 2019, beliau menerima Merdeka Award Grant for International Attachment untuk kajian di MIT, tetapi penularan COVID-19 menutup peluang itu. Beliau kemudian meneruskan kajian di makmal UiTM pada 2020, di mana penemuan sebatian fixative berlaku secara tidak sengaja. Sejak itu, beliau mengembangkan penyelidikan di Kolej Imperial London dan Universiti Deakin, Australia, sebelum menyempurnakan formula di Malaysia.
Ketepatan analisis molekul menjadi kelebihan Dr Azri, membolehkannya memetakan ratusan molekul aroma, mengenal pasti punca aroma cepat hilang, dan membangunkan formula aromatik yang mengikat komponen wangi supaya dilepaskan secara perlahan sambil mengekalkan keseimbangan top, middle, dan base note. Pendekatan unik ini menggabungkan dua bidang berbeza, elektrokimia dan perfumery, untuk menghasilkan wangian tahan lama.
Selain memastikan keselamatan pengguna melalui kilang bertaraf GMP dan pengesahan halal JAKIM, Dr Azri menekankan aspek pendidikan dan pembangunan bakat tempatan. Beliau melibatkan pelajar dalam penyelidikan haruman, membina ekosistem industri minyak wangi yang berdaya saing dan memberi peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Setakat ini, beliau telah membangunkan 10 variasi wangian, termasuk “Journey” – gabungan lemon, jasmine dan amber – yang menggambarkan perjalanan hidup, cabaran penyelidikan, dan kejayaan beliau. Dr Azri berharap inovasi tempatan ini menginspirasikan generasi muda untuk melihat sains dan perfumery sebagai bidang strategik yang mampu memberi impak jangka panjang kepada masyarakat dan negara.
Sumber: Bernama







