
Pengulas politik Britain, Sami Hamdi kembali ke London pada Khamis selepas 18 hari ditahan oleh pihak berkuasa imigresen Amerika Syarikat, satu penahanan yang menurutnya berpunca daripada kritikannya terhadap tindakan Israel di Gaza. Dalam ucapan ringkas sejurus tiba di Heathrow, Hamdi menyifatkan kepulangannya sebagai kemenangan terhadap usaha apa yang digelarnya sebagai cubaan pihak pelampau dalam kerajaan AS untuk menutup suaranya.
Hamdi, yang ditahan oleh Penguatkuasa Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat pada 26 Oktober, berkata beliau kini sedang berbincang dengan pasukan guamannya mengenai kemungkinan menyaman pihak berkuasa AS. Bagaimanapun, beliau mengakui masih menimbang keputusan itu kerana menghormati apa yang disifatkannya sebagai “kepala sejuk” dalam Jabatan Negara AS dan sistem mahkamah persekutuan yang menurutnya bertindak dengan lebih profesional berbanding pihak yang menahannya.
“Saya ingin katakan bahawa ini bukan sekadar serangan terhadap saya; ini serangan terhadap kebebasan rakyat Amerika dan rakyat biasa di seluruh dunia,” katanya kepada wartawan dan para penyokong. Hamdi menegaskan bahawa segala aktivitinya ketika berada di AS adalah sah dan selaras dengan syarat visanya, namun visa itu dibatalkan kerana advokasinya terhadap Palestin.
Pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mendakwa Hamdi menyokong serangan 7 Oktober terhadap Israel, sesuatu yang dinafikan olehnya. Hamdi menjelaskan bahawa kenyataannya bukan memuji serangan tersebut tetapi menggambarkan keganasan sebagai akibat penindasan berpanjangan terhadap rakyat Palestin. Beliau juga menekankan bahawa ceramah yang disampaikan sehari sebelum penahanannya di acara CAIR di California adalah dalam batas undang-undang.
Penahanan Hamdi berlaku ketika pentadbiran Trump meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing yang dikatakan menyokong protes atau kritik terhadap operasi ketenteraan Israel di Gaza, tindakan yang dikritik pelbagai kumpulan hak sivil sebagai pencabulan kebebasan bersuara. Hamdi, 35, berkata pemergiannya dari AS tidak dikenakan sebarang syarat dan beliau tidak dihalang daripada memohon visa baharu pada masa hadapan.
“Saya menang dalam kes ini. Mereka gagal menutup suara saya. Mereka gagal memadam kebebasan bersuara saya. Amerika menyokong saya,” katanya sambil disambut tepukan penyokong yang berkumpul di luar hotel berhampiran lapangan terbang.
Sumber: AP







