
Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang mula dikreditkan ke dalam MyKad sejak 31 Ogos lalu memberi kelegaan kepada rakyat dalam menampung perbelanjaan harian, khususnya ketika berdepan cabaran kenaikan kos sara hidup.
Di Kedah, Siti Noraziah Rashid, 26, dari Kampung Bukit Nyan, Pokok Sena berkata bantuan itu membolehkan keluarganya membeli barangan asas selepas pendapatan suaminya sebagai penoreh getah terjejas akibat hujan.
“Sudah hampir seminggu suami tidak dapat menoreh. Dengan RM100 ini, dapatlah beli beras, gula, minyak dan barangan dapur lain untuk kami tiga beranak. Nenek juga dapat bantuan sama, jadi banyak barangan asas yang dapat dibeli. Kami sangat bersyukur,” katanya.
Bagi penoreh getah Azizah Mat Desa, 65, dari Pendang, bantuan tersebut sangat membantu.
“Alhamdulillah, bantuan ini kena pada masanya. Kalau tidak, memang dapur kami tak berasap,” ujarnya.
Di Sabah, seorang ibu lima anak, Jamaliah Osman, 45, dari Kampung Likas berkata bantuan itu membantu menampung keperluan harian selain kos bahan perniagaannya menjual kuih di pasar malam.
Seorang pemandu teksi dari Penampang, Mohd Rizal Abdullah, 38, pula menyifatkan SARA sebagai langkah tepat ketika ekonomi mencabar.
“Jumlahnya mungkin kecil tetapi bagi keluarga berpendapatan rendah seperti kami, ia cukup membantu,” katanya.
Di Melaka, penjawat awam Farah Huda Shahiran, 29, menegaskan bahawa pendekatan menggunakan MyKad sebagai kaedah pembelian memudahkan proses dan mengelakkan penyelewengan.
Sementara itu, di Selangor, Jamal Mohd Razali, 33, berkata walaupun jumlahnya sekali beri, bantuan itu meringankan perbelanjaan bulanannya sekitar RM400 hingga RM500 untuk barangan dapur.
“RM100 ini memberi kesan besar jika dibelanjakan dengan bijak. Cuma saya harap senarai barangan yang layak diperluaskan,” katanya.
Di Pulau Pinang, pasangan suami isteri Mursyid Sulaiman, 29, dan Jannah Abdul Rahman, 29, menggunakan SARA untuk membeli barangan asas seperti beras, gula, tepung dan susu anak.
“Memang sumbangan ini amat membantu. Kami dapat jimat perbelanjaan dapur serta kurangkan kos untuk susu bayi,” kata Jannah.
Di Pahang, peniaga Amirul Hilmy Abas, 46, berkata walaupun jumlahnya dilihat kecil, bantuan itu amat bernilai jika dibelanjakan untuk keperluan asas.
“RM100 cukup bermakna kerana dapat mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya.
SARA merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah melalui penyaluran bantuan berbentuk kredit tunai tanpa tunai (cashless) yang boleh digunakan untuk membeli barangan asas terpilih di pasar raya.
–– BERNAMA