PalestinSemasa

Sembilan Anak Doktor Gaza Terbunuh dalam Serangan Israel

Seorang pakar kanak-kanak, Dr. Alaa al-Najjar, berhadapan dengan mimpi ngeri terburuk apabila rumah keluarganya di Khan Younis, Gaza, dibom dalam serangan udara Israel. Sembilan daripada 10 anaknya terbunuh, dengan mayat mereka hangus sehingga tidak dapat dikenali, menurut saudara mara.

Alaa sedang bertugas merawat kanak-kanak cedera di Hospital Nasser ketika berita duka itu tiba. Tanpa kenderaan, dia berlari ke rumah keluarganya hanya untuk menyaksikan pemandangan mengerikan. “Dia menjerit dan menangis apabila melihat mayat anak-anaknya yang hangus,” kata Ali al-Najjar, abang ipar Alaa, kepada agensi berita AFP.

Anak kesepuluh Alaa, Adam yang berusia 10 tahun, terselamat tetapi dalam keadaan kritikal, sama seperti bapanya, Dr. Hamdi al-Najjar, yang turut berada di rumah semasa serangan. Kedua-duanya kini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Nasser. Menurut sumber perubatan, Hamdi menjalani beberapa pembedahan di hospital medan Jordan, termasuk pembuangan sebahagian besar paru-paru kanannya dan menerima 17 pemindahan darah. Adam pula kehilangan sebelah tangan dan mengalami melecur teruk.

Saudara mara berkata serangan udara pada petang Jumaat itu berlaku tanpa amaran. Tentera Israel mendakwa mereka menyerang “suspek yang beroperasi dari struktur” berhampiran kedudukan mereka, tetapi dakwaan kemudaratan kepada orang awam sedang disiasat. “Saya tidak dapat mengenali kanak-kanak dalam kain kafan, ciri-ciri mereka hilang,” kata Sahar al-Najjar, kakak Alaa, sambil menangis.

Ali al-Najjar, yang menggali runtuhan dengan tangan kosong bersama paramedik, berkata, “Rumah abang saya seperti biskut yang hancur. Saya tak tahu macam mana nak beritahu dia anak-anaknya sudah tiada. Saya kuburkan mereka dalam dua kubur.” Dia menambah, “Tiada tempat selamat di Gaza. Kematian kadang-kala lebih baik daripada penyeksaan ini.”

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendedahkan Israel menyerang 10 hospital dan klinik di Gaza dalam seminggu, sebahagian daripada 28 serangan ke atas kemudahan kesihatan sejak permulaan konflik. Israel telah membunuh lebih 53,900 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dalam kempen ketenteraan di Gaza, meruntuhkan sebahagian besar wilayah itu dan memindahkan hampir keseluruhan penduduknya.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan. Israel juga berdepan tuduhan pembunuhan berympai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Sumber: TRT World & Agensi Berita

Related Articles

Back to top button