PalestinSemasa

Slovenia Isytihar Netanyahu ‘Persona Non Grata’, Janji Sokongan Kewangan Kepada Palestin

Slovenia pada Khamis mengisytiharkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai persona non grata, sekali gus menghalangnya daripada memasuki negara itu, susulan prosiding berterusan berkaitan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri di Kementerian Luar dan Hal Ehwal Eropah, Neva Grasic, berkata langkah itu menghantar mesej jelas kepada kerajaan Israel bahawa Ljubljana menuntut penghormatan penuh terhadap keputusan mahkamah antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Langkah ini tidak ditujukan kepada rakyat Israel, sebaliknya memberi isyarat kepada kerajaan mereka bahawa Slovenia menjunjung undang-undang antarabangsa dan menolak pengilhakan haram,” katanya selepas mesyuarat kabinet.

Beliau mengingatkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Julai 2024 yang menyatakan dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin diduduki melanggar undang-undang kemanusiaan serta hak asasi manusia. Grasic turut memetik laporan penyiasatan Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 16 September lalu yang buat pertama kali mengklasifikasikan tindakan Israel di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Slovenia sebelum ini turut melarang kemasukan dua menteri Israel — Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich — kerana kenyataan berunsur genosid dan menghasut keganasan.

Selain itu, Ljubljana turut meluluskan sumbangan €1.2 juta (AS$1.3 juta) bagi menyokong fungsi Pihak Berkuasa Palestin, sebagai sebahagian daripada inisiatif bersama Perancis, Sepanyol, Norway dan Arab Saudi.

“Slovenia mengiktiraf negara Palestin sejak 4 Jun 2024, maka adalah penting untuk memperkukuh sokongan politik dengan komitmen kewangan,” tambah Grasic.

— AA

Related Articles

Back to top button