
Oleh : Thoriq
Kerajaan Slovenia semalam mengumumkan larangan import barangan yang berasal dari penempatan haram Israel di wilayah Tebing Barat yang diduduki, sebagai satu langkah simbolik untuk meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Israel berikutan konflik berterusan di Gaza.
Slovenia sebelum ini secara konsisten mengkritik tindakan Israel dalam konflik tersebut, malah pada tahun lalu telah mengambil langkah untuk mengiktiraf negara Palestin sebagai sebahagian daripada usaha menamatkan keganasan di Gaza.
“Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Israel merupakan pelanggaran serius dan berulang terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan rasmi kerajaan Slovenia.
Kerajaan turut menegaskan bahawa Slovenia “tidak boleh dan tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada rantaian yang membolehkan atau menutup mata terhadap” pelanggaran tersebut, termasuk pembinaan penempatan haram, rampasan tanah, serta pengusiran paksa rakyat Palestin dari kediaman mereka.
Susulan itu, kerajaan Slovenia memutuskan untuk melarang import semua barangan yang berasal dari penempatan haram Israel, sebagai tindak balas terhadap dasar Israel yang dianggap menggugat peluang perdamaian berkekalan serta penyelesaian dua negara.
Menteri Luar Slovenia, Tanja Fajon, menyatakan bahawa walaupun langkah ini bersifat simbolik, ia tetap merupakan tindakan yang perlu sebagai respon kepada krisis kemanusiaan dan keselamatan yang berterusan di Gaza.
Kerajaan turut memaklumkan bahawa mereka sedang menilai kemungkinan untuk melarang eksport barangan dari Slovenia yang berkemungkinan akan dihantar ke penempatan haram Israel, sebelum mengambil langkah tambahan.
Menurut agensi berita STA, Slovenia tidak mencatat sebarang import dari penempatan haram Israel pada tahun 2022 dan 2024. Manakala pada tahun 2023, jumlah import hanya sekitar 2,000 euro.
Pada awal Julai lalu, Slovenia turut menjadi negara Kesatuan Eropah pertama yang melarang dua menteri sayap kanan Israel daripada memasuki negara itu, dengan menyifatkan mereka sebagai “persona non grata” kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat genosid dan mengapi-apikan keganasan terhadap rakyat Palestin.
Terdahulu, pada Jun 2024, Parlimen Slovenia telah meluluskan usul untuk mengiktiraf negara Palestin, menyusul langkah serupa oleh Ireland, Norway dan Sepanyol, sebagai reaksi terhadap tindakan pengeboman Israel di Gaza selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.